LATARBELAKANG

 

DSC02024

:: PENDAHULUAN

Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah, merupakan sebuah sekolah Menengah Agama (Rakyat) di Negeri Johor. Ia terletak di Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Muar. Jarak perjalanan dari Bandar Muar ialah sejauh 45 km. Kedudukannya yang jauh dari kesibukan bandar ini memberikan satu keistimewaan kepada sekolah ini, di mana ia sering menjadi pilihan ibu bapa yang mahu memberikan anak-anak mereka didikan agama yang sempurna di samping untuk mengelakkan mereka dari gejala sosial yang kian meruncing dewasa ini.

Meskipun pelbagai paparan tentang Sekolah Agama Rakyat (SAR) diketengahkan, alhamdulillah sekolah ini masih berdiri teguh malah semakin pesat membangun memandangkan saban masa ada sahaja golongan yang ingin memberi khidmat bakti.

:: SEJARAH SEKOLAH

Seandainya ditelusuri sejarah pendidikan negara pada dekad awal penjajahan British, kebanyakan masyarakat Islam mendapatkan pendidikan secara tidak formal di madrasah-madrasah yang ditubuhkan oleh ulama-ulama terkenal ketika itu. Fenomena ini sememangnya sudah lama diterima oleh masyarakat di Semenanjung Malaysia semenjak Syiar Islam mula bertapak di rantau ini. Bagi memenuhi tuntutan agama agar setiap umatnya menuntut ilmu maka lahirlah Madrasah Shamsuddiniah Assalafiah pada tahun 1940, selepas mendapat kelulusan daripada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) pada 12 mei tahun yang sama.

Seperti madrasah-madrasah di negeri-negeri lain, pelajaran-pelajaran yang diajar di Madrasah Shamsuddiniah ialah pelajaran-pelajaran agama seperti tauhid, fiqh, hadis, nahu, saraf dan lain-lain.

Menjelang tahun 1956, tanpa pertambahan prasarana dan jumlah pelajar yang ramai, madrasah ini mula mengubah kurikulum mengikut kehendak sistem pendidikan yang diamalkan oleh sekolah-sekolah Arab negeri Johor ketika itu. Bermula dengan perubahan kurikulum itulah, pada tahun 1969 Madrasah Shamsuddiniah dengan rasminya didaftarkan sebagai Sekolah Menengah Agama (Rendah) negeri Johor di Jabatan Agama Johor. Madrasah ini didaftarkan di bawah JAIJ untuk mengiktiraf kewujudannya sebagai institusi pendidikan yang sah. Walaupun demikian sehingga tahun 1985, pengurusan dan pentadbiran madrasah ini masih di tahap yang lama. Keadaan ini sebenarnya memberikan satu impak yang sangat berkesan dalam menentukan arah dan masa depan Madrasah Shamsuddiniah. Sesungguhnya sebagai sebuah sekolah agama yang sangat dikagumi dan dihormati pada suatu ketika dahulu (khususnya dalam tahun 1950an), kesinambungan peranan madrasah ini dalam pendidikan Islam di tanah air memerlukan suatu jalan penyelesaian yang sangat teliti.

Pengajian:

Mengorak langkah sebagai sebuah institusi pendidikan yang baru dikenali, madrasah ini pada awalnya hanya mempunyai satu bangunan sekolah yang mampu menempatkan lebih 50 orang pelajar lelaki. Sistem pendidikan yang berorientasikan ‘pondok’ itu sememangnya beroperasi dalam suasana yang serba kekurangan. Namun begitu, para pelajar sentiasa menikmati suasana pembelajaran yang menyenangkan sehingga ramai dalam kalangan mereka mampu menguasai bahasa Arab dengan baik ditambah dengan penggunaan bahasa jawa dan bahasa Melayu sebagai medium komunikasi.

Pada tahun 1969, waktu belajar dua sesi telah dilaksanakan mengikut ketetapan kurikulum oleh pihak JAIJ. Pada tahun itu juga madrasah ini ditadbir bersama-sama dengan JAIJ dengan penetapan waktu belajar pada jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari untuk sesi pertama manakala sesi kedua berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 6.00 petang. Madrasah ini seterusnya melalui perkembangan yang pesat bermula dari awal tahun 1970an. Ia telah menyebabkan cabang pendidikan yang sealiran dengan arus pendidikan negara menyerap ke dalam sistem pendidikan tradisi yang telah diwarisi sejak tahun 1940an. Pada ketika itu, kelas-kelas akademik kebangsaan di bawah kelolaan Maktab Adabi yang menjayakan program ‘Akademik Daya’ telah dilangsungkan pada waktu petang, khusus untuk pelajar-pelajar tingkatan 3, 4 dan 5. Sehubungan dengan ini, para pendidik yang berpengetahuan dalam aliran kebangsaan telah mula berkhidmat dan mula bertambah dengan ramai bermula pada awal tahun 1990an. Penawaran pendidikan peringkat SRP telah diikuti dengan pertukaran kepada PMR dan seterusnya penawaran pendidikan peringkat SPM telah menarik perhatian golongan pelajar dari hampir seluruh daerah di negeri Johor dan juga dari negeri-negeri yang berhampiran seperti Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Perkembangan pendidikan agama peringkat tinggi di Semenanjung Malaysia dan Negeri Johor khasnya telah membuka peluang yang begitu luas kepada para pelajar untuk menimba pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Ia turut membawa kepada perubahan yang besar terhadap kurikulum pendidikan agama di mana kurikulum yang berasaskan Kurikulum Maahad Bu’uth al-Azhar telah diterima dan digunapakai.

Sesungguhnya perkembangan ini merupakan sesuatu yang amat diharapkan kerana sejarah telah membuktikan bahawa ilmuan Islam tidak hanya memiliki dan menguasai ilmu agama semata-mata tetapi juga ilmu sains dan ilmu-ilmu duniawi yang lain yang mampu membuat orang bukan Islam bukan hanya belajar tetapi turut merampasnya dari orang Islam.

Pelajar Dan Tenaga Pengajar:

Ketika dekad awal penubuhannya, bilangan tenaga pengajar seramai 8 orang telah menjadi tunggak pembangunan intelek dan spiritual di madrasah ini. Biarpun mengalami perubahan fizikal dengan pertambahan satu lagi bangunan sekolah pada tahun 1960, namun bilangan pelajar dilihat jauh merosot berbanding pada tahun 1940an dan 1950an. Dengan bilangan pelajar seramai 300 orang, bilangan tenaga pengajar yang ada hanya seramai 7 orang sahaja berbanding dua puluh tahun sebelumnya.

Bermula pada awal tahun 1970an, pelajar perempuan sudah mula mendaftar untuk mendapatkan pendidikan formal yang berasaskan ilmu agama. Rata-rata pelajar berasal dari Selangor, Melaka, Perak, Brunei, Indonesia dan negeri Johor sendiri. Perkembangan ini telah menyebabkan wujudnya 2 blok asrama yang lebih selesa untuk pelajar perempuan dan 3 blok asrama untuk pelajar lelaki. Pertambahan prasarana ini telah menarik perhatian penduduk beberapa negeri yang dahagakan ilmu untuk ke sini. Kemudahan perpustakaan dan kantin yang disediakan menaikkan lagi taraf bagi sistem yang sedia wujud.

Seawal tahun 1947, pelajar lulusan ibtidaiyah di sekolah ini sudah mula terhasil. Lulusan pertama sekolah ini ialah Ustaz Haji Khanan bin Haji Sulaiman. Beliau merupakan lulusan pertama sekolah yang memulakan perkhidmatan di sekolah ini sejurus selepas menamatkan pengajian di peringkat tersebut. Beliau bersara daripada perkhidmatan selepas menabur jasa selama 51 tahun menjadi guru di sekolah ini pada tahun 1999. Pada tahun 1975 madrasah ini telah melakukan anjakan kurikulum yang mula memberikan cabang fokus kelas akademik aliran Kebangsaan. Sebagai pelengkap kepada kewujudan cabang kurikulum yang baru ini, guru perempuan pertama sekolah ini iaitu Puan Norhayah binti Pandi telah memulakan tugas. Meskipun telah berkhidmat lebih 25 tahun, namun pengalaman dan jasa-jasa serta khidmat bakti beliau masih lagi diperlukan sesuai dengan tuntutan semasa sekolah untuk menjayakan visi sucinya melahirkan generasi yang seimbang dalam semua aspek.

Walau bagaimana pun menjelang tahun 1977, jumlah pelajar merosot apabila hanya seramai 73 orang sahaja yang mendaftar pada tahun tersebut.

Guru-guru berijazah pula telah mula mendapat tempat di sekolah ini pada tahun 1997 bagi mengisi kekosongan jawatan yang pada ketika itu sudah mula menitikberatkan aspek kelulusan sebagai kriteria utama untuk diterima bertugas. Di samping itu juga, pihak sekolah telah melantik Penyelia Asrama serta Kerani Kewangan dan Pentadbiran untuk memastikan kelicinan pengurusan sekolah dan asrama. Jawatan Pembantu Am Rendah (PAR) hanya diwujudkan pada tahun 2000 diikuti dengan pengambilan Pengawal Keselamatan sebagai staf sokongan pada tahun 2002.

Pentadbiran:

Berikutan dengan pemergian Almarhum Dato’ Kiyai Haji Shamsuddin bin Haji Reduan, pengasas madrasah ini, pentadbiran madrasah turut berubah. Pentadbiran telah dilaksanakan secara jamaah, yang kebanyakannya terdiri daripada warisnya. Ia dikenali sebagai Jemaah Pengurusan Sekolah (J.P.S).

Kebajikan Staf:

Perkembangan dan pembangunan sekolah ini telah turut mengambil kira kebajikan staf di mana elaun perkhidmatan turut ditingkatkan dari kedudukan yang kurang stabil kepada bayaran elaun yang dapat diistilahkan sebagai mampu untuk menyara kehidupan para guru dan kakitangan madrasah.

Pelarasan gaji kali pertama telah dilaksanakan berkuatkuasa pada awal tahun 2000 dan kali kedua pada awal tahun 2002. Sehubungan dengan ini, jawatan secara kontrak untuk setiap guru dan kakitangan turut dilaksanakan untuk tempoh masa dua tahun sebelum ia diperbaharui semula. Dalam usaha untuk mempertingkatkan profesionalisme keguruan, guru-guru yang berkelayakan telah dihantar berkursus secara Kursus Dalam Cuti (KDC) seperti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM).

Prasarana:

Pada tahun 1985, pihak JAIJ aktif memberi bantuan bagi memenuhi keperluan fizikal sekolah khusus untuk memberikan kemudahan demi keselesaan para pelajar. Rentetan itu, asrama perempuan dibaikpulih dengan kos pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak JAIJ. Dua tahun kemudian, pihak JAIJ telah mula memberikan bantuan air, elektrik, kipas dan kerusi untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif berbanding tahun-tahun sebelumnya. Pada ketika itu juga kelas akademik aliran Kebangsaan dan Arab telah dijalankan dalam satu sesi sahaja.

Pertambahan satu bangunan sekolah yang mempunyai perpustakaan serta 2 buah asrama lelaki dan 2 buah asrama perempuan lengkap dengan kemudahan asas berlaku pada tahun 1990. Bagi mewujudkan keseimbangan dalam aspek jasmaniah dan intelektual, satu gelanggang sepak takraw dan badminton turut dibina untuk kemudahan para pelajar menjalani riadah pada waktu petang. Pada tahun itu juga, Lembaga Pengawas dan Disiplin Sekolah serta peraturan sekolah secara rasminya telah diwujudkan.

Pihak sekolah telah mendapat peruntukan bangunan batu sepenuhnya pada tahun 1991 yang menempatkan bahagian pentadbiran dan kelas. Berikutan dengan pertambahan pelajar, maka pada tahun 2001, pihak madrasah telah mendapat peruntukan pembangunan untuk membina kompleks Madrasah yang meliputi asrama pelajar serta kemudahan pengajaran dan pembelajaran iaitu bilik kelas, makmal komputer, makmal sains dan sains tulen, bilik tayangan yang lengkap dengan laptop, LCD, radio dan televisyen, perpustakaan, bengkel kemahiran hidup dan dewan.

Adalah diharapkan ia akan dapat menjana pendidikan warganya agar dapat melahirkan warganegara yang berpendidikan dan beriman serta mampu mengharungi cabaran semasa yang semakin hebat. Peningkatan taraf turut dilakukan ke atas bangunan yang sedia ada untuk membolehkannya beroperasi dengan lebih mantap dan berkesan. Penempatan pelajar yang dibina telah mampu menampung sehingga anggaran 350 orang pelajar dalam satu masa.

Perkembangan yang berlaku di Madrasah Shamsuddiniah dari semasa ke semasa ini adalah sejajar dengan matlamat pendidikan Kebangsaan. Walaupun pada asalnya ia adalah sebuah sekolah pondok yang serba kekurangan tetapi kini ia mampu berdiri sama teguh dengan sekolah-sekolah lain dan berjaya menghasilkan pelajar-pelajar yang berjaya di dalam pelbagai bidang keilmuan. Semoga Allah merahmati dan memberkati segala usaha yang telah dilakukan oleh pengasas, pengusaha dan tenaga pengajar sekolah ini. Amin.

Kemasukan aliran akademik dalam sistem persekolahan pada tahun 1987 telah memberikan satu cara atau jalan penyelesaian yang bertepatan dengan perkembangan semasa. Apatah lagi pendidikan semasa pada tahun-tahun selepas kemerdekaan negara, disampaikan dengan pelbagai kaedah dan peralatan moden yang tentunya menggugat kepada pendidikan Islam yang lebih banyak terikat kepada kehendak tradisi dan tuntutan agama.

BIOGRAFI DATO KIYAI HJ SHAMSUDDIN BIN HJ REDZUAN

dato kiyai

Dato’ Kiyai Shamsuddin bin Haji Redzuan adalah seorang tokoh ulama tanahair yang disegani. Beliau lahir di Kepet, Madiun, Jawa Timur pada 11 November 1911. Menimba ilmu dari beberapa pesantren di Pulau Jawa sebelum berhijrah ke Malaysia, antaranya ialah Pesantren Termas dan Pesantren Tebuireng yang masyhur. Beliau merupakan pendiri Madrasah Shamsuddiniah Assalafiah yang didirikannya pada tahun 1940. Madrasah ini terletak di Kampung Parit Medan, Kundang Ulu, Muar, Johor Darul Takzim dan masih ada sehingga kini. Kini ianya dikenali sebagai Sekolah Menengah Agama Shamsuddiniah. Selain daripada terlibat terus dalam bidang pendidikan, Dato Kiyai juga pernah memegang pelbagai jawatan penting di Negeri Johor, antaranya sebagai penasihat Sultan, Ahli Jemaah Majlis DiRaja Johor, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Johor dan Ahli Jawatankuasa Lujnah Fatwa Negeri Johor. Beliau juga bukan sahaja alim dalam ilmu-ilmu agama, bahkan ahli dalam ilmu-ilmu pertahanan diri. Semasa zaman “Bintang 3″ beliau adalah antara tokoh yang berjuang menentang pihak komunis dan mengerahkan anak-anak muridnya untuk berjuang sama demi mempertahankan maruah agama. Dato’ Kiyai menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 1 Ramadhan 1418 (9 Januari 1997) meninggalkan 18 orang anak termasuklah Shohibus Samahah Datuk Haji Mohd. Tahrir, mufti Johor sekarang.

dato kiyai2

Di antara karya beliau adalah sebuah kitab himpunan sholawat berjodol “Majmuu’atush Sholawaat” yang mengandungi berbagai sholawat yang masyhur termasuklah Sholawat Tafrijiyyah dan Sholawat Syifa`. Pada mukaddimahnya pula disebut, antara lain hadits “lawlak” yang tidak lepas dari khilaf ulama mengenainya. Ada ulama yang mentsabitkannya, ada yang menolaknya dan ada pula yang walaupun tidak mentsabitkannya tetapi menyatakan bahawa maknanya shohih. Insya-Allah wa bi ‘awnihi, nantilah kita cuba bicarakan mengenainya. Apa yang zahir dari karya Dato’ Kiyai ini, beliau nampaknya tergolong dalam kalangan ulama yang mensabitkan hadits tersebut. Dalam mukaddimahnya tersebut beliau menulis antara lain:-

Sholawat itu satu amalan atau satu ibadah yang sangat-sangat besar pahalanya dan dituntut pada tiap-tiap orang mukminin memperbanyakkan sholawat atas Rasulullah (se)bagaimana firman Allah s.w.t.:

إن الله و ملائكته يصلون على النبي يا أيها الذين آمنوا صلوا عليه وسلموا تسليما

Dan tiada syak lagi bahawa Rasulullah itu ‘waashitah’, bahkan Rasulullah itu:

أصل الإيجاد لكل مخلوق

كما قال ذو العزة والجلال: لولاك لما خلقت الأفلاك

“Asal bagi kewujudan setiap makhluk”, sebagaimana firman Tuhan yang empunya kemuliaan dan kebesaran (yakni dalam hadits qudsi) yang ertinya: ” Jika tidak wujud Rasulullah, Allah ta’ala tidak menjadikan bumi dan langit.”

Sungguh Junjungan Nabi itu adalah sebab bagi kewujudan segala yang ada di alam ini. Maka hendaklah kita sentiasa menjaga hubungan dengan orang yang menjadi sebab bagi kewujudan kita. Malanglah sesiapa yang memutuskan hubungan dengan baginda. Moga Allah merahmati Kiyai Haji Shamsuddin dan menempatkan beliau bersama para sholihin.

:: FALSAFAH DAN OBJEKTIF

Falsafah:

Berusaha secara berterusan untuk melahirkan warganegara yang berilmu, beriman kepada Allah dan beramal berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah untuk membentuk sahsiah, sikap, kemahiran dan pegangan hidup sebagai hamba Allah yang bertanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat dan negara ke arah mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Objektif:

Menyediakan peluang pembelajaran yang bersepadu untuk menyuburkan bakat, kebolehan dan minat serta melengkapkan individu dengan ilmu yang seimbang yang mampu memberi kesempurnaan dan kebahagian hidup kepada semua warga SMAS.

Falsafah




Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: